Detik itu menjelma kembali…
“oh ibu…. Kau disiram bayu pagi.
Kehilangan terasa kini dan kesepian..
dan aku.. bagai purnama gerhana…
di ibarat lautan kering..
tiada tempat ku layarkan.. hasratku ini..
masih belum sempat ku buktikannya..
padamu ibu tersayang..
ku curahkan rasa hati..”
Bagaikan tergiang-giang bait lagu “Oh Ibu” nyanyian Mamat Exist.. Hari ini.. 2 April 2011.. genaplah empat tahun pemergian arwah ibunda tercinta mengadap Yang Maha Esa.. semoga roh ibunda dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman… Amin Ya Rabbal A’lamin…
Masih terbayang di tubir mata.. ibu yang melahirkan dan membesarkan diri ini. Ingin benar rasanya untuk menatap wajah lembut itu.. wajah yang penuh keibuan tatkala memandang wajah anak-anaknya.. betapa ku rindukan tangan yang begitu lembut mengusap rambutku.. membelai diriku.. memujukku.. menyuapku makan dan minum sekalipun anaknya ini sudah mampu untuk melakukannya sendiri.. betapa kasihnya seorang ibu…
Seakan wayang gambar.. detik-detik pemergiannya begitu jelas menyusuri benak fikiran. Mengisi segenap ruang hati. Memenuhi seluruh ruangan minda dan bagaikan hadir di alam nyata.
*********************************************
Saat itu aku masih di usia belasan tahun. Bakal menduduki peperiksaan yang penting pada tahun hadapan. Peperiksaan yang akan menentukan ke mana hala tuju ku selepas ini.
Dua minggu sebelum pemergian arwah, ada satu perasaan yang jelas hadir dalam diri ini. Kalau sebelum ini aku lebih senang mengekori ayah, sekarang aku merasakan yang aku harus berada di rumah. Mengapa? Tiada jawapan untuk itu. Aku masih ingat, waktu itu, tiga hari berturut-turut aku tidak berenggang dengan mak. Keadaan mak sudah agak uzur. Mak perlu memakai alat bantuan pernafasan. Kakinya sudah tidak kuat untuk melangkah, jika mahu beralih kedudukan, mak hanya mampu mengengsot perlahan-lahan. Namun, mak seorang yang tabah! Sepanjang waktu itu, kami berbual mesra. (betapa aku merindui saat itu sekarang…)
Dua hari kemudian, pada hari ahad, 25 Mac 2007, aku ke sekolah seperti biasa menaiki basikal. Jarak dari rumah ke sekolah hampir tujuh kilometer. Dan pada hari yang sama, buat pertama kalinya aku terlibat dalam kemalangan. Namun tidak teruk.. hanya luka sedikit di bahagian tangan dan lutut, selebihnya hanya lebam-lebam biru yang melekap hampir dua minggu akibat tersadai di atas jalan raya. Keesokannya hari isnin, 26 Mac 2007, aku gagahkan diri pergi ke sekolah seperti biasa. Namun terasa tidak sedap hati. Tidak ku hiraukan. Aku menganggap perasaan itu hadir kerana kesan dari kemalangan semalam. pulang dari sekolah kira-kira jam 4 petang, mak tiada di rumah, ayah beritahu, mak admit ke ward tengahari tadi kerana tidak berdaya. Memang logik kerana mak akan muntah setiap kali menjamah makanan sekalipun sejemput nasi.
Tanpa sempat menukar uniform sekolah, aku pergi ke hospital. Bagi aku waktu itu, tiada sebarang keanehan kerana sejak dari tahun lepas, mak kerap keluar masuk hospital selepas disahkan mengidap paru-paru berair. Dan kebiasaannya aku akan turut ‘menginap’ di hospital untuk menjaganya. Kekerapan tidak hadir ke sekolah sebelum ini menyebabkan aku perlu menghadirkan diri kali ini. Waktu itu keadaan ibu teruk, perlu memakai alat bantuan pernafasan, ubat dimasukkan melalui tiub yang sedia terpasang di tangan sepanjang masa. Keadaannnya terlalu lemah. Kakak iparku, kak aida mengambil giliran menjaga mak kali ini.
Pada hari khamis 29 Mac 2007 minggu yang sama, aku mengambil giliran menjaga mak. Aku sudah terbiasa dengan situasi itu. Kali ini, keadaan mak sememangnya agak luar biasa pada pengamatanku. Makanan langsung tidak dapat dijamah, hanya mampu untuk meneguk air sahaja. Segala-galanya dilakukan di atas katil sahaja. Kadang-kadang mak meracau dan tidurnya kerap terganggu kerana tidak dapat bernafas dengan lancar, sedang aku hanya mampu untuk memintanya supaya banyakkan bersabar.
Pagi jumaat, 30 Mac 2007 sebaik merapikan diri mak, aku cuba menyuap sedikit makanan kepadanya, sedikit benar rezeki yang mampu dinikmati kala itu. Kami sempat berbual dan hingga sekarang aku masih ingat kata-katanya pagi itu..
“mak nak mati dah..”
Aku hanya menggap itu adalah kata-kata dari orang yang sakit. Kerana waktu itu, mak terlalu lemah. Sepanjang hari itu.. aku menatap wajahnya sepuas hati. Dan kalau aku tertidur, saat terjaga, aku merasa cukup lega tatkala melihat mak masih bernafas waktu itu.. sukar ku gambarkan saat itu dengan kata-kata.
Hari-hari berikutnya.. keadaan mak semakin teruk. Cukup terseksa hati ini bila melihat mak mengerang kesakitan setiap kali doktor dan nurse menyuntiknya dengan pelbagai ubat. Berat mata memandang.. berat lagi rasa yang harus ditanggung mak saat itu. Sejujurnya, aku tidak sanggup melihat mak begitu.
Hari ahad, 1 April 2007, mak tidur sepanjang pagi itu, tiada makanan yang mahu dijamah. Mak cukup lemah hari itu sehinggakan untuk duduk buat seketika pun mak memerlukan sokongan. Aku ralit dengan dunia ku sendiri kala itu. 3 hari tidurku tidak menentu membuatkan aku agak kepenatan.
Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengahari, tiba-tiba ada seorang lelaki datang menyapa,
“assalamualaikum dik, maaf ganggu, abang tengok mak adik macam dah nazak, adik sorang je ke yang ada kat sini sekarang ni?”
Kala itu juga aku memalingkan wajah memandang mak, nafasnya tersekat-sekat, wajahnya sudah agak pucat, hanya juraian air mata yang menemaniku saat itu. Aku menelefon ayah dan kak aida, tidak dapat ku nyatakan perasaanku saat itu,.
Ahli keluarga mengerumuni mak. Tiada sebarang percakapan kedengaran. Hanya esakan halus diselang seli dengan bacaan yassin yang cukup jelas memenuhi ruang. Cukup sebak hati ini melihat ayah mengusap rambut mak dan menggenggam erat tangannya. Manik-manik jernih dibiarkan sahaja menuruni pipi. Wayar berselirat melekap di badan mak.
Isnin, 2 April 2007, aku pulang ke rumah semalam selepas keadaan mak mulai reda. Kak aida mengambil giliran untuk menjaga mak. Pagi itu, doaku cukup panjang selepas solat subuh. Aku siapkan sarapan untuk keluarga. Jam 8 pagi. Tergerak hati ini untuk menelefon kak aida.. dan dia mengatakan..
“kalau nak datang tengok mak.. datang la cepat pagi ni.. “
Aku terkedu. Kepada ayah ku khabarkan berita tersebut, ayah bersiap-siap dan memintaku untuk berada di rumah sahaja. Ayah dan abang bergegas ke hospital. Tepat jam 11.30 pagi, deringan telefon rumah kedengaran. Ayah di hujung talian.
“siapkan rumah. Ayah nak bawa mak balik..”
Aku seolah hilang perasaan waktu itu. Gembira kerana mak akan pulang namun bagaimana keadaannya kini? Itulah persoalan yang menghurung benakkku. Setiap yang diarahkan ayah sebentar tadi ku turuti. Beberapa ketika kemudian, azan zohor kedengaran lantang mengalunkan seruan-Nya. Tidak lama kemudian, ambulan sampai ke perkarangan rumah. Jiran tetangga ada yang sedia menunggu di laman, dan aku cukup berdebar-debar untuk menatap wajah mak.
Dan sekali lagi aku kehilangan kata-kata. Keadaan mak cukup menyayat hati yang memandang. Terdapat luka di dada mak kesan kemasukan alat bantuan pernafasan. Mak dibawa naik ke rumah. Kami adik beradik mengelilingi mak. Perlahan-lahan kami memanggil mak mengharapkan panggilan itu disahut. Namun , sepi..
Seketika kemudian mak membuka mata, wajah kami seorang demi seorang ditatap, ada air jernih yang mengalir dari mata bening itu. Kami genggam erat tangan mak.. kami sayang mak.. itu yang kami mahu sampaikan pada mak saat itu.
Jam 5 petang, jiran-jiran mula beransur pulang, hanya tinggal beberapa eorang sahaja dan ada seorang jiranku yang sedang membacakan yassin berhampiran tempat pembaringan mak. Dan… dia memanggil ayah ku.
“Mat, isteri kamu dah takde…”
Seluruh ahli keluarga mengerumuni mak, aku terduduk. Bisu dengan situasi. ‘mak dah takde..’ hanya itu yang memenuhi minda berulang-ulang kali.
Mak dikebumikan esok hari, dan kali ini aku mengambil peluang terakhir menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang anak. Aku ikut memandikan jenazah, aku ikut mengafankan jenazah dan aku turuti langkah ke tanah perkuburan melihat dari jasad itu diletakkan ke dalam liang lahad hingga selesai segalanya…. Aku seolah-olah tiada perasaan kala itu. Apa yang yang tahu, aku harus melihat semuanya buat kali yang terakhir. Mesti!
Inalillah hi wainna ilaihirrojiun……
Dan sekali lagi pesanan mak ku ingati.. sedari kecil aku akan mendengar pesanan ini apabila mak diduga dengan tahap eksihatan yang tidak menyelesakan.
“kalau mak mati, jangan menangis tau…”
Namun, sekarang kala menulis teks ini, aku memungkirinya. Maafkan aku mak. Anak mu ini tetap menangis.
********************************************
Hari ini, sabtu 2 April 2011, segalanya seakan terbayang jelas di dalam diri ini. Sekalipun sudah genap empat tahun mak tiada disisi diri ini.
Ya Allah, betapa aku rindu padanya.. betapa aku sangat mengingatinya. Merindui gemersik suaranya, gerak gerinya, senyumannya Dan betapa aku mendambakan hadirnya diri mu di dalam mimpi ku ibu, mengisi ruang rinduku…..
Andai aku mampu mengundurkan masa, ingin benar aku menatap wajah itu, mengucup pipinya, memeluk erat tubuhnya, menggenggam erat tangannya menghargai setiap belaiannya, mendengar setiap leterannya, menyanyanginya sepenuh hati kerana kini aku tidak dapat merasainya lagi. Tidak untuk selama-lamanya. Terlalu anyak jasamu ibu.. dan aku tidak sempat untuk membalasnya.. maafkan aku…
Hingga sekarang, masih dapat kurasakan sejuknya dahi mak yang ku kucup buat kali terakhir dan aku terlalu merindui saat itu.. kucupan terakhirku buat mak yang melahirkan ku.. kucupan terakhir dari ku seumur hidup ku… ampuni segala dosa anakmu ibu… ampuni daku.. semoga kita bertemu suatu hari nanti di alam sana… aku akan menyusulmu bila sampai saat dan ketikanya nanti…
“ Ya Allah, ampunilah segala dosa kami (adik beradik), dan (dosa) kedua ibu bapa kami, dan rahmatilah keduanya sepertimana keduanya mendidik kami pada waktu kecil.”
Al-Fatihah buat arwah ibunda:
Halijah binti Loman
(26 Januari 1945 - 2 April 2007)
****************************************
Pada insan yang masih mempunyai ibu dan bapa, hargailah mereka, selagi hayat mereka masih ada. Tanpa mereka kita tiada, ingatlah, mati itu satu kepastian namun tiada siapa yang tahu bila ia akan menjemput kita mengadap Sang Pencipta. Sehebat mana pun kita, di depan Yang Maha Esa, kita adalah sama. Kita adalah insan yang menumpang diatas dunia, kita sama sahaja bezanya Cuma amalan kita.. syurga aeorang anak di telapak kaki ibu.. keredhaan Allah keatas kita adalah melalui keredhaan ibu bapa terhadap kita.. wallahu a’lam bisawwab…..
(Dari seorang anak yang amat merindui insan yang melahirkannya ke dunia fana ini.. terima kasih ibu…. )
kawe sedih doh nie..al fatihah..kuat mas..aj2 fighting..trus jd ank yg brguna ea..msti dia gmbre di sana..amin~
BalasPadamit's ok... benda dah berlalu.. kena teruskan idop.. hihi jaga mak ko leklok auw..sementara masih berkesempatan.. ti lau jd cam aku.. rindu beb...
BalasPadam