Thanks for visiting Teratak Pelangi Senja...

Kita kongsi warna mata... Tapi tidak warna hati.. Guna hak berfikir sebelum hak bersuara.. Kalau terpelajar guna hak miranda....

Most Gorgeous People Who's Following My Blog..


Jumaat, Disember 23, 2011

Jangan Biarkan Dosa Bersarang Di Facebook


Jangan Biarkan Dosa Bersarang Di Facebook. 

(Petikan dari Majalah Solusi isu ke 37 2011 – Dr. Zaharuddin Abd. Rahman)

          Isu muamalat merangkumi banyak cabang. Selain kewangan, muamalat juga merangkumi seluruh urusan manusia dengan manusia lain termasuk nikah kahwin, jenayah, politik, dan isu-isu masyarakat.

          Pada ruangan kali ini, saya akan menyimpang sedikit ke cabang muamalat yang tidak berkaitan dengan kewangan, namun berkaitan dengan hubungan manusia sesame manusia. Dalam artikel yang lalu, saya pernah menulis berkenaan keharusan menggunakan laman sosial Facebook  selagi mana digunakan secara betul dan benar, walaupun menyedari laman tersebut ditubuhkan oleh seorang yahudi untuk tujuan dan maksud yang berbagai. Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan dan melarang kemungkaran melalui Facebook, saya sedar terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan perbuatan tersebut boleh dianggap haram, malah berganda-ganda haramnya.

         Perlakuan dan perbuatan melalui Facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak. Namun pada kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara sahaja iaitu:

1.      Mendedahkan Keaiban Suami atau Isteri.
          Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik Facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci dan marah terhadap pasangan pada ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui  status Facebook. Kemudian, status tersebut mendapat pelbagai komentar daripada rakan-rakan dan kenalan.
           Sebagaimana yang disebut oleh ramai pakar dalam bidang rumah tangga, kebanyakkan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain bagi melepaskan beban yang ditanggung. Adakalanya tindakan tersebut mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula bertujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu sekadar melepaskan tekanan dalam diri.
          Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam kategori mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bercerita perihal rumah tangga atau pasangan mereka secara terbuka samada melalui Facebook atau rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini mempunyai autoriti seperti ibu bapa, mentua, dan adik-beradik yang boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Mereka boleh juga dikongsi dengan pihak ketiga seperti kadi, mufti, ilmuwan sama ada ustaz, ustazah, ataupun kaunselor rumah tangga,
          Terdapat sebahagian maklumat tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat “membaca” dan “mengetahui” secara trsirat bahawa si pemilik sedang “perang dingin” dengan pasangannya, suami sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, pasangan bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya, ingatlah semua, rumah tangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui Facebook. 
          Beramanahlah, berikan suami ataupun isteri password Facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda, pasangan juga boleh menyemak dan membuang (delete) mana-mana status yang dimasukan secara emosi tanpa pertimbangan akal yang wajar.

2.      Terlebih Gambar.

         Ramai dalam kalangan wanita ini sudah mempunyai Facebook. Mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan pujian terhadap kecantikannya. Oleh sebab itu, semakin ramai wanita yang memuat naik gambar mereka, sama ada gambar jarak dekat, sangat dekat (sehingga memenuhi kotak gambar) atau jauh (secara beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

          Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan menayangkan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa rasa cemburu dan prihatin. Lebih membahayakan, ramai pula lelaki yang menontonya. Sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda dan membuat “lamaran” nafsu.

          Lebih pelik, tuan punya Facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen yang kurang veretika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu ( seperti ajakan berdating atau berkahwin walaupun telah bersuami ) tersebut pada ruang komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

          Mereka terus bercanda melalui ruangan komentar – si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami – atas tiket kawan lama, rakan sepejabat dan sebagainya, namun hal tersebut dibiarkan sahaja. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap berdosa dan salah di sisi Islam kerana perbuatan tersebut termasuk dalam kategori larangan Allah, “Janganlah kamu menghampiri zina.”

         Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna ) ditayang semahunya di Facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di laman web http://zaharuddin.net .



3.      Penyamaran

          Terdapat lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk menjadi “friend” dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan emnjadi “friend” seorang wanita . akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita terseebut. Bagi membolehkannya mendapar akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita dengan meletakkan gambar mana-mana wanita yang bertebaran dalam internet sebagai dirinya. Dengan cara itu, lelaki ini berjaya menjadi kenalan dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa-apa yang disukainya dengan gambar itu.

            Si wanita yang pada asalnya berasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis senarai “friends” sebaiknya, rupa-rupanya masih terdedah gambarnya kepada orang yang tidak sepatutnya. Oleh sebab itu, walaupun anda hanya membenarkan “friends” untuk menatap gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.


                                                       
4.      Muat turun gambar untuk simpanan dan tatapan.

           Dimaklumkan juga, dek kerana gambar wanita yang “bersepah” di Facebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru mana-mana wanita yang dikurniakan Allah dengan rupa yang menurut pandangan ramai sebagai cantik dan menawan, sedar dan berhati-hatilah. Golongan sebegini amat perlu lebih berwaspada daripada mereka yang lain.

            Malangnya golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan “dosa”. Nasihat saya, simpan sahaja gambar-gambar cantik molek yang dimiliki, cukuplah ia buat tatapan suami. Tidak cukupkah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali diri? Tidak perlulah begitu tamakkan pujian manusia luar.

            Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di syurga nanti. Sedarlah, kecantikan itu mungkin menjadikan sebuah rumah tangga hancur, menerbitkan kecemburuan wanita lain kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh cantik wanita di Facebook dengan isterinya. Jika ini berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosanya.  


                                                                                                             
5.      Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

          Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini.

          Ini kerana, terdapat trend menyebarkan gambar-gambar lama dan kemudian meletakkan tagging kepada individu dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang ditag, akan muncul dan boleh dilihat oleh semua “friends” dan rakan kepada “friends”.

          Ini boleh menjadi satu dosa kerana:


(i)                 Sebahagian individu dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

(ii)               Individu terbabit berada di dalam rumah bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana berada di dalam rumah sendiri atau dalam keadaan candid. Tetapi akibat ketidakprihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat, gambar yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang ditanda (tag) boleh dengan segera membuang tag itu. Hasilnya , walaupun gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan, itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik Facebook tidak sedar mereka boleh untagged nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berdosa dalam Islam.



(iii)             Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi yang mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia berada dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi yang mengaibkan. Tambahan pula dia kini merupakan seorang yang terhormat dan mempunyai kedudukan baik di mata masyarakat. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemarkan nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung dalam khalayak ramai, sama ada sengaja ataupun tidak, semua perlu sedar anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda tetapi bukan gambar orang lain. Keizinan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.



(iv)               Mengutuk diri sendiri dan kebaikan. Terdapat juga sebahagian wanita yang berpenampilan cukup solehah, berpakaian “extra caution” dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun setelah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan. Imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju yang berkerlipan warnanya, fabrik yang tebal dahulu sudah menjadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasanya seribu satu kacam. Suami pula mungkin bukan jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Lebih menyedihkan apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di Facebook yang disiarkan oleh rakan-rakan lama, tuan punya badan kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk diri sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung, lahirlah kata-kata “zaman aku ekstrem”, “zaman solehah”, “waktu innocent”. “zaman-zaman suci”, “itu zaman kuno dulu”, “itu masa duduk bawah tempurung” dan lain-lain frasa yang sepertinya.

 Tanpa disedari, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri apabila melabelkan zaman dahulu sebagai “zaman solehah”. Adakah dia mengaku kini tidak lagi solehah? kini tidak lagi suci? Dan macam-macam lagi. Dia juga sekaligus seolah-olah mengutuk cara pemakaiannya yang sopan dahulu.

Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah asas pakaian dan penampilan solehah dahulu, janganlah sampai mengutuknya kini kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik dan seolah-oleh mendahulukan yang kurang baik.



Kesimpulannya.


          Itulah Facebook. Facebook boleh menjadi sumber pahala jika digunakan dengan betul, malah boleh menjadi penyebab azab jika digunakan tanpa ilmu dan batasan. Berhati-hati dan berpada-padalah pemilik Facebook.

           Niat untuk mendekatkan ukhuwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan aktiviti bersembang mesra, gurau senda antara suami dan isteri orang serta antara lelaki dan wanita bukan mahram. Ia hanya akan membawa kemudahan dan keruntuhan rumah tangga. Janganlah lagi mempermainkan nama ukhuwah untuk berbuat dosa.

           Ukhuwah itu hanya terhad kepada sesuatu yang membawa kepada ingatkan Allah. Mengajak ke arah kebaikan dan menjauhkan kemungkaran. Lihatlah Surah Al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwah dalam kalangan Mukmin.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan