Thanks for visiting Teratak Pelangi Senja...

Kita kongsi warna mata... Tapi tidak warna hati.. Guna hak berfikir sebelum hak bersuara.. Kalau terpelajar guna hak miranda....

Most Gorgeous People Who's Following My Blog..


Jumaat, Disember 16, 2011

Peristiwa-Peristiwa Aneh Sebelum Kewafatan Rasulullah SAW.

Peristiwa-peristiwa Aneh Sebelum Kewafatan Rasulullah SAW




        
         Terdapat beberapa peristiwa atau kisah aneh dan pelik yang terjadi dalam kehidupan Rasulullah SAW. Sebelum kewafatan Baginda, sebagai pendedahan terhadap mereka yang berminat untuk mengetahui hal-hal aneh dan pelik, di samping untuk memantapkan keyakinan kepada Rasulullah SAW sebagai Nabi dan Rasul.

        Rasulullah SAW bukanlah seorang manusia biasa tetapi manusia luar biasa yang wajib kita agungkan. Hal ini kerana, sudah menjadi fitrah semulajadi manusia, akan mengagungkan tokoh yang mempunyai kelebihan luar biasa. Allah SWT memberikan mukjizat, iaitu perkara luar biasa kepada para Nabi dan Rasul-Nya, termasuk khususnya kepada Rasulullah SAW sebagai membuktikan kebenaran kenabian dan kerasulan insan yang diutuskan-Nya untuk umat sejagat ini.

          Terdapat lapan peristiwa aneh sebelum kewafatan Rasulullah SAW. Peristiwa tersebut adalah seperti berikut.

          Satu> Rasulullah SAW Mengajar Cara Solat Jenazah.

         Antara peristiwa pelik sebelum kewafatannya adalah Baginda mengajar cara-cara mengkafan dan solat jenazah. Peristiwa itu berlaku ketika Rasulullah SAW berada di rumah Aisyah r.a.  Baginda memanggil para sahabat supaya berkumpul dan Baginda memesan sesuatu  serta mengajar cara mengkafankan jenazahnya. 

         Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :”Selamat datang kamu semua, semoga Allah SWT mengasihi ksmu semua. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dan kamu semua telah dekat, dan dekat pula saat kembalinya seorang hamba kepada Allah SWT, kalau telah sampai ajalku, maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong kedua-duanya. 

         “Setelah itu kamu kafankanlah aku dengan pakaianku sendiri. Atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih, apabila kamu memandikan aku, hendaklah kamu meletakkan aku di atas  balai tempat tidurku dalam rumah ini. Kemudian kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku.

           “Pertama yang akan berselawat atasku aku ialah Allah SWT  kemudian yang akan solatkan aku ialah Jibrail a.s. kemudian diikuti oleh malaikat Israfil a.s. malaikat Mikail a.s. dan terakhir sekali malaikat Izrail a.s. beserta dengan para pembantunya. Selepas itu baru kamu semua masuk bergantian secara berkelompok untuk solat ke ataaku.”


          Dua> Pesanan Terakhir Kepada Para Sahabat. 

          Perkara pelik yang lain iaitu pesanan terakhir Rasulullah SAW kepada sahabat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:” Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua ‘dua penasihat’ yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja, yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit timbul antara kamu, hendaklah kamu semua kembali kepada al-Quran dan hadisku. Sekiranya hati kamu itu keras, maka lembutkanlah dia dengan mengambil pelajaran daripada mati.”


         Tiga> Rasulullah Meminta Abu Bakar Menjadi Imam.

         Semasa Baginda SAW sakit, Baginda tidak mampu untuk keluar bersembahyang bersama-sama orang ramai, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:” Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang.” Baginda telah menyuruh Abu Bakar menjadi imam menggantikan tempatnya. Dengan itu Rasulullah SAW meredhai Abu  Bakar sebagai khalifahnya (penggantinya) ketika Rasulullah SAW masih hidup. Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada mulanya Abu Bakar sendiri menyatakan kurang senang dngan suruhan itu. Aisyah telah menerangkan kepada Baginda  SAW bahawa ayahnya tidak sihat. Mudah sahaja jatuh sakit dan suaranya lemah. Apabila membaca ayat-ayat al-Quran, beliau sangat beremosi mengenang dan mencurah-curah air matanya. Apa pula tanggapan jemah lain apabila melihat Abu Bakar menjadi imam sedangkan Rasulullah SAW masih ada.

          Tetapi Rasulullah telah menolak alasan-alasan ini. Abu Bakar menjadi imam sebanyak 17 kali semasa Rasulullah SAW sakit kali terakhir.


          Empat> Rasulullah Dipapah Ke Masjid.

         Semasa Baginda SAW sakit teruk, Rasulullah SAW memanggil Ali dan Fadl bin Abbas r.a. lalu Rasulullah SAW bersandar kepada kedua-dua mereka dan terus Baginda dipapah ke masjid. Setelah Rasulullah SAW sampai di masjid, maka Rasulullah SAW pon bersolat subuh bersama-sama dengan para jemaah. 





         
                    Lima> Pemergiannya Sengaja Dibayang-bayangkan. 

          Pemergian Rasulullah sering dibayangkan. Semasa Baginda menyampaikan perutusan di atas Gunung Arafah semasa mengerjakan Haji Wada’, Baginda berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa lagi selepas tahun itu. Semasa menyempurnakan pengebumian pejuang yang gugur di perang Uhud, Baginda telah membaca surah al-Fatihah dan talkin. Dalam talkin itu, Baginda telah berkata yang bermaksud, “Saya akan mengikuti saudara tidak lama lagi.”

            Di Janunt al-Banuqui, Baginda secara terang-terangan menyatakan masa baginya semakin dekat. Beberapa hari sebelum baginda wafat, dalam satu perhimpunan terakhir baginya, Baginda memberi nasihat-nasihat tertentu kepada pengikut-pengikut Baginda ketika itu.


          Enam> Sakit Yang Membawa Maut.

          Pada bulan Jun tahun 623M, sakit Rasulullah SAW semakin teruk. Baginda telah pergi melawat satu kematian, apabila pulang dari menziarahinya, Baginda semakin tenat. Kemudian, para sahabat bertanyakan keadaan Baginda, lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud:”Nabi-nabi sememangnya menanggung kesakitan yang lebih teruk daripada prang lain, itulah satu sebab kenapa mereka menerima ganjaran Tuhan yang lebh tinggi.” Sakit yang terakhir ini berlanjutan selama 13 atau 14 hari.

          Pada 11 hari pertama, Rasulullah SAW masih lagi pergi menunaikan solat di Masjid Nabawiah. Pada suatu ketika dalam lima hari yang terakhir semasa Rasulullah SAW sakit teruk dan demam, Rasulullah SAW diambilkan air sejuk untuk mandi. Air sebanyak tujuh baldi itu hendaklah diambil dari telaga yang berasingan di Madinah.

          Selepas mandi, panas badan yang dirasai semakin reda dan Rasulullah SAW berasa sedikit lega. Selepas itu Rasulullah SAW bangun lalu pergi ke masjid dan berucap kepada jemaah yang hadir bertanya dengan tegas:”Setelah aku mati, jangan sekali-kali aku dipuja dan jangan sekali-kali kuburanku dijadikan satu tempat pemujaan dan penyembahan.”

          Selepas pulang dari menyampaikan kata-kata tersebut, Rasulullah SAW tenat semula. Tubuh badan Rasulullah SAW semakin lesu dan wajah Rasulullah SAW semakin pucat. Rasulullah SAW berbaring dan tidak sedarkan diri. Kebetulan pada waktu  itu, ada seorang Muslim pulang dari Abyyinia dan membawa ubat. Lalu Saiyidina Ali mengambil ubat tersebut dan memasukkan sedikit ke dalam mulut Baginda. Setelah Rasulullah SAW sedar, Baginda menyatakan Baginda tidak suka diberi ubat tanpa izin Baginda. Sebagai hukuman, semua yang hadir disuruh minum sedikit ubat tersebut.


          Tujuh> Khutbah Rasulullah Semasa Baginda Sakit.

          Semasa sakit, Rasulullah SAW masih mampu memberi khutbah. Antara khutbah yang diberikan oleh Baginda SAW ialah (yang bermaksud) “Sesungguhnya sudah dekat pemergianku daripada kamu semua, sesiapa yang pernah aku rotan belakangnya, ini belakangku, sila balas kepadaku. Sesiapa yang pernah aku hina, ini diriku, silalah dia membalasnya. Sesiapa yang pernah aku mengambil hartanya, ini hartaku, silalah dia ambil kembali dan janganlah takut kemaraha dariku kerana itu bukan akhlakku. Sesungguhnya orang yang paling aku sukai dalam kalangan kamu ialah orang yang mengambil haknya daripada aku sekiranya dia mempunyai hak itu.”

          Selepas itu seorang sahabat bangun dan menyebut dia mempunyai tiga dinar daripada harta Rasulullah SAW, baginda meminta Qusam memberikan tiga dinar kepada sahabat itu.selepas itu dia bertanya kepada sahabat itu,” Mengapa kamu minta?  Sedangkan ini Rasulullah?” sahabat itu berkata:” Aku mahu menjadi orang yang paling dikasihi oleh Muhammad.”Rasulullah SAW mengulangi lagi pertanyaannya, tetapi tiada seorang pun yang bangun. Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu halalkanlah kepada aku untuk berjumpa dengan Tuhanku dalam keadaan hatiku tenang. Dengan kamu menghalalkan kepada aku pun aku rasa belum selamat.”

          Kemudian Rasulullah SAW berkata” Sesungguhnya seorang hamba diberi plihan untuk diserahkan kepadanya segala kekayaan dunia semuanya kekal di dunia menudian ia masuk syurga.”Rasulullah SAW memilih bertemu dengan Tuhannya dan masuk syurga.

           Apabila mendengar ucapan itu, Abu Bakar menangis teresak-esak. Beliau berkata,” Bahkan kamilah yangmenebus kamu dengan diri kami dan anak-anak kami, wahai Muhammad,” Daripada kata-kata Muhammad, Saiyidina Abu Bakar dapat memahami hamba yang Muhammad sebutkan itu adalah diri Baginda sendiri.


          Lapan> Pesanan Akhir, Ciuman Akhir.

          Pada hari akhir hayat Rasulullah SAW, Baginda menyuruh langsir pintu dikuakkan supaya Baginda dapat memandang ke masjid di hadapan. Baginda gembira menyaksikan Abu Bakar mengimami sembahyang. Badanya segar sedikit setelah tidur pada malam sebelumnya. Air mukanya cerah, lalu Rasulullah SAW bangun dan pergi ke masjid dengan dipapah oleh Abbas dan Ali.

          Apabila kembali dari masjid, sakit Rasulullah SAW semakin bertambah, Baginda berbaring di atas pangkuan Saiyidatina Aisyah, Baginda menyuruh Aisyah memanggil anaknya Fatimah lalu berkata,” Aku akan pergi sebentar lagi. Engkaulah ahli keluarga yang pertama menemui aku di syurga.”

          Setelah Rasulullah SAW semakin tenat, Baginda memberi arahan berdoalah, doalah. Sebelum Baginda nazak, Rasulullah berkata,”Semoga Allah memusnahkan sesiapa yang menjadikan kubur nabi-nabi pemusatan sembahyang. Janganlah hendaknya terdapat dua agama (Yahudi dan Kristian) di bumi Semenanjung Arab.

          Rasulullah SAW wafat dalam pangkuan Saiyidatina Aisyah. Baginda wafat pada sebelah petang, hari isnin 1 Rabiulawal, insan yang paling pengasih pernah lahir di bumi ini.

          Mencintai Rasulullah.
        
         Namun begitu, tidak terdapat riwayat-riwayat yang jelas yang menceritakan tentang peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku di saat-saat kewafatan Rasulullah SAW. Ia sedikit berbeza dengan peristiwa yang berlaku pada saat kelahiran Baginda.

          Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku pada saat-saat kewafatan Baginda, Rasulullah SAW lebih banyak memberi wasiat dan peringatan kepada umatnya sehinggakan terdapat satu riwayat yang menceritakan, di saat-saat kewafatan Baginda, Rasulullah SAW menyebut “Ummati.. Ummati.” Perkara ini jelas berdasarkan kata-kata Ali bin Abi Talib r.a.:”Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika menjelang saat-saat terakhir telah menggerakkan kedua-dua bibir Baginda sebanyak dua kali dan aku mendengar Rasulullah SAW berkata ,” Umatku, umatku.” Betapa kasihnya Baginda kepada umatnya.

          Yang menjadi persoalannya kini adakah kita semua umat Islam mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW seperti mana Rasulullah SAW mencintai kita? Seandainya benar kita mencintai Rasulullah SAW marilah kita bersama-sama menghayati dan mengenang kisah hidup Rasulullah SAW bermula dari saat kelahiran Baginda sehinggalah peristiwa-peristiwa akhir pada saat-saat kewafatan Rasulullah SAW. Sesungguhnya inilah tokoh agung yang tiada bandingan sehingga kini.


Rujukan”
(a)          Biografi Muhammad bin Abdullah , Perjalanan Hidup Seorang Nabi.
(b)         Keanehan & Keajaiban Dalam Kehidupan Nabi Muhammad SAW.
(c)          Detik-detik Terakhir Kehidupan Rasulullah,
(d)         Sejarah Lengkap Sirah Nabi Muhammad SAW.
(e)         Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah SAW
(f)          Kitab Sirah Rasulullah SAW
(g)         Kisah-kisah Dalam Riwayat Hidup Rasulullah SAW

Karya: Hanisah Burhanuddin, Muzaida Mohammad, Siti Noorasikin Tumiran.
Majalah Solusi Isu 38. 2011


   








Gratisan Musik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan